Segala puji bagi Allah yang tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas dan tidak memberi petunjuk kepada tipu daya para pengkhianat. Selawat dan salam ke atas Rasul yang diutus sebagai rahmat bagi sekalian alam, ke atas ahli keluarganya, para sahabatnya, dan sesiapa yang mengikuti petunjuknya hingga Hari Kiamat.
Sesungguhnya Rabithah Ulama Muslimin, dalam mengikuti perkembangan panas di rantau ini akibat konfrontasi ketenteraan yang sedang berlaku antara entiti Zionis dan rejim Iran, berpandangan bahawa adalah menjadi kewajiban syar’i dan kesedaran politik untuk memberikan penjelasan yang jujur kepada umat Islam, serta memberi amaran kepada umat agar tidak terperangkap dalam menyebelahi salah satu daripada dua musuh ketat ini, yang telah bersatu dalam menghalalkan darah umat Islam, memecahbelahkan negara mereka, dan memusnahkan perjuangan mereka.
Pertama: Berkenaan dengan entiti perampas Zionis, sejak mula kewujudannya di jantung bumi Palestin yang diberkati, ia telah dan masih menjadi musuh utama yang membunuh umat.
Apa yang sedang berlaku di Gaza, dari pembunuhan beramai-ramai, pengeboman terancang terhadap hospital, sekolah dan kem pelarian, pengusiran orang awam, serta pemusnahan identiti, dengan sokongan ‘tentera salib’ yang nyata, merupakan antara gambaran paling keji bagi jenayah dan keganasan moden. Ia adalah contoh jelas tentang kebiadaban musuh nyata yang tidak menghormati keimanan mahupun perjanjian.
Bersolidariti dengan Palestin dengan segala cara yang mungkin adalah satu kewajiban syar’i dan nilai yang tidak boleh dipertikaikan atau ditangguhkan. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengalihkan perhatian daripada jenayah lain yang tidak kurang bahayanya terhadap umat ini.
Allah SWT berfirman:
أُذِنَ لِلَّذِینَ یُقَـٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُوا۟ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِیرٌ
“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa untuk menolong mereka.” (Surah al-Hajj: 39)
Kedua: Berkenaan dengan projek Safawi Rafidi Iran, maka telah menjadi jelas kepada umum bahawa ia merupakan antara ujian paling berbahaya yang menimpa umat Islam pada zaman ini. Ia berselindung di sebalik slogan “perjuangan” dan “penentangan”, serta mendakwa dizalimi dan bertoleransi, sedangkan hakikatnya ia adalah pisau beracun yang menikam sisi umat ini, dan api yang tersembunyi di bawah abu yang akan menyala membakar ibu kota umat Islam setiap kali diberi peluang.
Ia merupakan kesinambungan sejarah yang dipenuhi kebencian, dendam dan kemunafikan dari segi akidah dan politik. Dalam era kita ini – sejak kelahiran Revolusi Khomeini – ia telah menjadi satu projek bersifat pemusnahan, peluasan wilayah dan fanatik mazhab melampau yang melangkaui sempadan. Ia dibina di atas usaha menghancurkan asas Islam, memecah-belahkan kesatuan umat, menyebarkan khurafat, dan pelbagai penyelewengan akidah yang berunsur syirik, mencela para sahabat Rasulullah SAW, serta bersekongkol dengan musuh-musuh Islam dalam setiap peristiwa sejarah utama.
Melalui rangkaian kumpulan dan militianya, mereka telah melakukan jenayah paling keji terhadap umat Islam di Iraq, Syria, Lubnan dan Yaman.
Segala gambaran pembunuhan, kemusnahan, pengambilan tentera berdasarkan mazhab, pakatan dan kerjasama dengan musuh-musuh Islam yang dilakukan secara konsisten, semuanya adalah fakta yang nyata, disokong oleh kesan-kesan perbuatan mereka di bumi dan pengakuan-pengakuan terbuka mereka.
Renungilah kata-kata Imam Ibn Taimiyyah beberapa abad lalu ketika beliau berkata kepada orang ramai:
“Inilah tabiat golongan Rafidhah, mereka sentiasa cenderung untuk meninggalkan jemaah umat Islam dan lebih condong kepada Yahudi, Nasrani dan musyrikin – dalam perkataan, sokongan, kerjasama dan peperangan. Maka, adakah terdapat golongan yang lebih sesat daripada mereka yang memusuhi golongan Muhajirin dan Ansar – para sahabat terdahulu yang utama – tetapi bersekutu dengan golongan kafir dan munafik? Tiada golongan munafik yang lebih banyak selain daripada dalam kalangan Rafidhah, bahkan tiada dalam kalangan mereka kecuali pasti mengandungi unsur munafik. Sebab itu, menurut kebanyakan umat Islam, mereka adalah kelompok asing, lain daripada umat Islam. Bahkan, ketika umat Islam memerangi mereka di sebuah gunung di pesisir Syam – tempat mereka menumpahkan darah umat Islam, merompak harta mereka dan menyekat jalan sebagai ibadah dan pegangan – sebahagian tentera Turkmen memerangi mereka, lalu mereka berkata: ‘Kami Muslim!’ Maka dijawab: ‘Tidak, kalian adalah bangsa lain.’ Dengan kejujuran dan kejernihan hati, mereka mengetahui bahawa golongan ini adalah kelompok lain yang terkeluar daripada Islam kerana perbezaan mereka yang ketara dengan umat Islam.” (Rujukan: Minhaj al-Sunnah, Ibn Taimiyyah, 3/374)
Apa yang disebut oleh Ibn Taimiyyah berabad lalu kini dihidupkan semula dalam zaman kita – dengan bentuk yang lebih buruk – di Iraq, Syria, Yaman dan Lubnan, malah sebelum itu lagi di Afghanistan.
Ketiga: Sesungguhnya kami di Rabithah Ulama Muslimin memberi amaran kepada umat – sama ada pemerintah mahupun rakyat, para ulama dan golongan intelektual – agar tidak terjerumus dalam perangkap terpedaya dengan mana-mana dua projek berbahaya ini. Zionisme adalah musuh yang nyata, manakala kemunafikan Safawi pula adalah musuh yang berselindung. Kedua-duanya sedang menghancurkan umat Islam, malah musuh yang tersembunyi itu tidak kurang bahayanya – bahkan dalam banyak keadaan, ia lebih merbahaya.
Sudah tiba masanya umat Islam – khususnya para ulama, cendekiawan dan golongan elitnya – menyingkap tirai penipuan dan keluar daripada kitaran propaganda. Tidak wajar sama sekali menjadikan slogan perjuangan Palestin sebagai alasan untuk menikam umat dari dalam, atau melupakan sejarah berdarah rejim Iran dan militianya yang bersifat mazhab ekstrem hanya kerana ketika ini mereka berseteru dengan musuh Zionis.
Keempat: Maka Rabithah Ulama Muslimin, sambil menegaskan hakikat-hakikat ini demi menjelaskan kebenaran dan melepaskan tanggungjawab, menyeru kepada perkara-perkara berikut:
1. Memperkukuh kesatuan saf Islam yang sebenar, yang dibina atas dasar al-Quran dan as-Sunnah, bukannya berdasarkan slogan mazhab, kaum atau lainnya. Kami juga menyeru seluruh umat Islam yang jujur agar membentuk satu projek penyatuan yang tidak tunduk kepada sebarang agenda musuh Islam – dan di situlah terletaknya jalan keluar mereka daripada segala penderitaan, dengan izin dan pertolongan Allah SWT.
2. Kewajipan untuk menyedari bahaya kedua-dua projek ini, serta menolak sebarang bentuk pakatan dengan entiti Zionis mahupun rejim Iran, kerana kedua-duanya adalah musuh kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman.
3. Tidak terpedaya dengan slogan palsu, sama ada atas nama “normalisasi dan perdamaian” atau atas nama “penentangan”, kerana semuanya adalah alat untuk melaksanakan projek penjajahan dan hegemoni kuasa luar.
4. Menyokong isu-isu umat berasaskan prinsip Islam yang tulen, tanpa bergantung kepada paksi kuasa luar atau menjadi pengikut kepada agenda asing.
5. Menyeru para ulama, pendakwah dan semua suara bebas agar meningkatkan mutu wacana kesedaran umat, membongkar agenda-agenda tersembunyi, dan tidak terikut dengan alat-alat penipuan dan pengalihan tumpuan yang dimainkan oleh media.
Kami memohon kepada Allah agar mengangkat segala kesengsaraan, membongkar topeng para munafik, memberi kemenangan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, melindungi umat ini daripada segala kejahatan, dan memeliharanya daripada tipu daya orang-orang jahat dan makar golongan durjana.
Dan Allah Maha Berkuasa atas segala urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Tertinggi Rabithah Ulama Muslimin
20 Zulhijjah 1446H
Bersamaan 16 Jun 2025M
Sumber asal: https://muslimsc.net/
Terjemahan oleh: Dunia Palestin